Oleh : Dr Khalif Muammar (Dosen Casis UTM Malaysia)
Pada tahun 1983, Sheikh Muḥammad ʿAli al-Ṣābūnī, seorang Ulama’ Salafi yang sederhana (muʿtadil) yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Ummul Qura Mekkah selama lebih 28 tahun, dalam satu tulisannya di majalah al-Mujtama’ Kuwait telah menyeru para ulama’ Salafi untuk menghormati dan tidak menghukum sesat Asha’irah dan para imam Ahl al-Sunnah wal Jama’ah yang telah banyak berjasa dalam pelbagai bidang keilmuan Islam.
Wartapilihan.com, Jakarta –Beliau menegaskan : “Asha’irah dan Maturidiyyah adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, mereka tidak terkeluar daripada Islam dan kita tidak mengeluarkan mereka daripada agama ini bahkan mereka ini daripada Ahl al-Sunnah, meskipun mereka memiliki pandangan dalam menta’wilkan beberapa Sifat Allah yang menyalahi orang-orang terdahulu dairpada generasi terdahulu akan tetapi ia tidak mengeluarkan mereka daripada golongan Ahl al-Sunnah dan tidak boleh kita meletakkan mereka sebaris dengan Rawafid (Syi’ah), Mu’tazilah dan Khawarij yang telah menyeleweng daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah…Adapun mengeluarkan mereka daripada saf umat Islam dan meletakkan mereka bersama-sama orang-orang yang sesat dan menggugurkan mereka daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, apakah kamu tahu apa makna semua ini? Ini bermakna kita menghukum kafir dan sesat ke atas lebih daripada 95% daripada kaum Muslimin. Kerana Asha’irah adalah majoriti pengikut mazhab Maliki, Shafi’I, sesetengah Hanabilah, dan Maturidiyyah adalah majoriti pengikut mazhab Hanafi.
Jika kita periksa dunia ini dari hujung ke hujung kita akan mendapati bahawa pengikut mereka memenuhi dunia yang makmur ini, ke mana sahaja kamu pergi kamu akan mendapati pengikut dan pembela mereka di mana-mana. Para ulama’ Mesir dan sheikh-sheikh di al-Azhar mengambil akidah Imam al-‘Ash’ari, ulama’ Sham, Iraq, Tunis, Maghrib kebanyakan mereka menganut aliran Ash’ari…”.
Beliau juga mengatakan: “Mereka (pelampau Salafi) tidak tahu bahawa denga kejahilan murakkab mereka ini mereka telah menisbahkan kesesatan kepada tokoh-tokoh besar ulama’ kaum Muslimin seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, pensyarah Sahih al-Bukhari, Shaykhul Islam al-Badrul ‘Aini, Siraj al-Din al-Balqini, al-Hafiz al-‘Iraqi, Ahli Hadith yang agung al-Imam al-Nawawi, begitu juga tokoh-tokoh besar dalam Tafsir seperti Imam al-Qurtubi, Abu Hayyan al-Tawhidi, Imam al-Fakhr al-Razi, al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti, Jalal al-Din al-Mahalli, Imam al-Alusi, Imam al-Nasafi, dan ramai lagi di kalangan orang-orang yang mulia dan besar.
Mereka semua mengikut aliran Asha’irah dan Maturidiyyah dan kitab mereka mengandunig ta’wil yang tidak mengeluarkan mereka daripada pangkuan Ahl al-Sunnah. Bagaimana mungkin kita menisbahkan umat Muhammad salla’Llah ‘alayhi wa sallam kepada kesesatan dan keluar daripada Islam sedangkan mereka lah yang membawa bendera Islam dan mempertahankan kuasanya, dengan ilmu-ilmu mereka yang hebat, yang sehingga kini umat Islam masih menghirup kesegarannya dari satu generasi ke generasi yang lain, hanya kerana mereka cenderung kepada ta’wil?!”.
Lalu apa yang telah mereka lakukan terhadap ulama’ Salafi yang mu’tadil ini? Mereka telah menyerangnya pula, mencari-cari kesalahannya walhal ‘kesalahan’ yang beliau lakukan hanyalah menyeru agar golongan yang mengaku Salafi agar bersikap adil terhadap para ulama’ besar terdahulu yang telah memberi sumbangan besar terhadap perkembangan Islam. II